Luar Negara Berita

Kelab Thailand batalkan kontrak Zafuan Azeman

Zafuan Azeman kini sudah tidak mewakili mana-mana pasukan selepas kelab Thailand, Angthong FC membatalkan kontraknya musim ini.

Pemain berusia 20 tahun itu menjelaskan, kelabnya bukan sahaja membatalkan kontrak miliknya, tetapi juga kontrak semua pemain selepas menghadapi krisis kewangan kerana penggantungan liga akibat wabak COVID-19.

“Saya sangat sedih sebab perlu berpisah dengan Angthong FC selepas kelab membatalkan kontrak pemain kerana pandemik COVID-19,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada presiden kelab, kakitangan, jurulatih, rakan-rakan sepasukan dan semua individu yang mewakili kelab kerana melayan saya dengan baik.

“Saya harap kita dapat jalinkan lagi kerjasama pada masa depan.”

Ini kali kedua Zafuan kehilangan pasukan disebabkan masalah kewangan selepas menghadapi masalah yang hampir serupa dengan Perlis musim lepas.