Liga M4 Berita

Kerteh FC mahu bakat akar umbi ke Eropah

Walaupun hanya beraksi di Liga Amatur Terengganu, Kerteh FC sentiasa mencuri perhatian peminat tempatan apabila kelab itu dilihat cukup profesional dalam menguruskan sebuah pasukan bolasepak.

Yang terbaru, Kerteh FC melantik Oscar Riera sebagai penasihat teknikal bagi membantu pengarah teknikal, Che Ku Marzuki dalam menubuhkan program pembangunan akar umbi.

Program tersebut juga bertujuan untuk melahirkan bakat pemain muda dari Kerteh dan membuka laluan kepada mereka untuk mengembangkan karier bolasepak profesional di Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier Syed Radzuan mendedahkan Riera menjadi pilihan kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam pencarian bakat pemain.

Malah, Riera sedang bekerjasama dengan kelab-kelab Divisyen 2 dan 3 di Sepanyol yang menjadi platform kepada pemain asing untuk menunjukkan bakat dan keupayaan mereka di Eropah.

“Oscar Riera mempunyai profil terbaik untuk mengambil peranan sebagai penasihat teknikal. Pengalamannya yang luas dan pendekatannya yang pragmatik menjadikan beliau sebagai individu yang sesuai untuk Kerteh.

“Pelantikannya juga menandakan satu lagi langkah penting dalam projek pembangunan jangka panjang yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi bakat akar umbi bagi mencapai cita-cita kami.”

Menurut akaun Twitter Kerteh FC, Riera akan memulakan khidmatnya di Barcelona dan dijangka ke Kerteh pada hujung tahun ini.