Liga Super Malaysia Berita

Aidil Sharin sediakan sesi latihan Kedah…di Singapura

Walaupun berada di Singapura, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tetap meluangkan masanya memantau sesi latihan pasukannya dari jauh.

Jurulatih itu terpaksa menunggu lebih lama untuk kembali ke Kedah selepas Singapura membuat keputusan untuk melanjutkan kawalan pergerakan sehingga 1 Jun.

“Sepatutnya langkah pemutus rantaian akan tamat pada 4 Mei tetapi kami telah dimaklumkan ia dilanjut sehingga 1 Jun selepas mengambil kira pelbagai aspek,” katanya.

“Jadi, ketika ini semestinya masa saya bersama keluarga amat penting untuk kami sama-sama menjaga kesihatan diri di rumah kerana risau juga dengan keadaan sekeliling sekarang.

“Namun, sekiranya tempoh kawalan pergerakan di Malaysia berakhir lebih awal, saya berhasrat ingin pulang ke sana jika tiada halangan dan kita tengok dulu macam mana keadaannya.

“Dekat sini sebenarnya bukanlah sekatan pergerakan sepenuhnya kerana kami masih boleh keluar tetapi hanya atas urusan penting seperti membeli barangan dapur dan sebagainya.”

Aidil tetap menitikberatkan perancangan latihan yang rapi buat barisan pemainnya bagi supaya tidak terlepas sebarang latihan walaupun hanya berada di rumah.

“Setiap hari Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat saya dan pemain-pemain akan membuat panggilan video untuk berbincang mengenai latihan bersama mereka. Saya juga sentiasa berhubung dengan barisan kejurulatihan lain untuk kami buat pelan A dan B untuk pasukan.

“Jika semuanya akan pulih dalam waktu terdekat, kami akan bersama pasukan kembali untuk berlatih dan sudah pasti apa yang diperlukan adalah aksi persahabatan sebelum liga kembali bermula.

“Tetapi, jika ia berlanjutan lagi ke satu tempoh yang belum pasti, pelan B adalah untuk kami menambah sesi latihan pemain dengan lebih kerap kerana kecergasan mereka begitu penting ketika ini.”