Malaysia Berita

FAM potong gaji kakitangan sehingga 20 peratus

Di tengah-tengah wabak COVID-19 ketika ini, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengumumkan bahawa pihaknya membuat keputusan untuk memotong gaji antara 10 dan 20 peratus terhadap kakitangan pentadbiran dan staf teknikalnya.

Katanya, keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama bagi memastikan kestabilan kewangan badan bolasepak negara itu kekal terjamin.

Stuart juga berkata ia merupakan langkah terakhir yang dibuat selepas mengkaji pelbagai aspek dengan Exco FAM dan pengurusan atasan sejak wabak COVID-19 yang menyebabkan semua saingan bola sepak tempatan terpaksa ditunda.

“Keputusan ini dicapai menerusi rundingan atas semangat musyawarah dengan niat yang murni.

“Seboleh-bolehnya kami ingin mengelak daripada mengambil pendekatan ini tetapi mengambil kira keadaan yang tidak menentu, keputusan ini diambil demi kepentingan semua, termasuk kepentingan FAM selaku satu organisasi,” katanya dalam kenyataan.

“Urus Setia Agung FAM membuat penilaian dengan hati-hati dan pemahaman yang teliti terhadap impak wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada seluruh negara dan juga industri bola sepak tempatan sejurus kita memasuki tempoh kedua PKP selepas 31 Mac lalu.

“Maka Urus Setia Agung akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan, termasuk mengenakan potongan gaji sepanjang krisis ini andai PKP dilanjutkan. Ini dipersetujui oleh kakitangan pentadbiran dan teknikal FAM sebagai usaha memastikan kestabilan kewangan FAM dalam menempuh saat-saat sukar ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua tenaga kerja FAM atas komitmen mereka terhadap organisasi, terutama pada tempoh yang sukar buat semua pihak.”