AFC menggesa pemegang taruh bola sepak Malaysia untuk mencari jalan tengah dalam menangani isu kewangan angkara wabak COVID-19.
Setiausaha Agung AFC, Windsor John mengajak semua pihak berkepentingan untuk membuka pintu perbincangan bagi menghadapi kemungkinan impak kewangan yang meruncing akibat pandemik itu.
“Tanpa kemampuan menjana pendapatan sama ada dari segi jualan tiket, penajaan mahupun sokongan kerajaan, kantung sesetengah pasukan mungkin terjejas untuk satu tempoh yang agak panjang.
“Kelab-kelab mungkin tidak dapat memenuhi tanggungjawab yang termaktub dalam kontrak dengan pemain. Laporan dari Eropah menunjukkan gaji pemain sama ada dipotong atau ditunda.
“Dalam keadaan kita berdepan satu krisis besar, semua pihak harus berjiwa besar. Dengan senario yang sedia ada, inilah masanya untuk kita melihat dari sudut gambaran yang lebih besar.
“AFC menggalakkan negara anggota dan pemain untuk sama-sama memahami situasi sedia ada.
“Ini bukanlah masa untuk menuding jari sebaliknya kita harus belajar memahami keperluan masing-masing.
“Ringkasnya, perlu semua pihak untuk duduk semeja berunding dan mencari penyelesaian secara bersama. Keputusan yang diambil harus mementingkan impak yang meluas, bukan bermotifkan kepentingan individu.”
Wabak yang melanda dunia menjejaskan industri bola sepak dunia dan Windsor membayangkan bahawa perubahan besar bakal berlaku, sambil mendedahkan AFC akan mengadakan perbincangan dengan wakil pemain profesional, FIFPro, tidak lama lagi selain keputusan FIFA untuk membentuk Jawatankuasa Petugas bagi merangka strategi baharu dalam menangani cabaran COVID-19.
“Dalam konteks Malaysia, AFC menggesa pasukan dan wakil pemain untuk mencari model yang sesuai dalam mendepani kemungkinan ketidakstabilan kewangan, sepertimana yang dilaksanakan oleh badan induk Indonesia, PSSI.
“PSSI duduk berbincang dengan semua pemegang taruh dan bersetuju dengan satu solusi. Kesudahannya, kita tidak mahu kelab atau pasukan menamatkan sebarang kontrak pemain jika kedudukan kewangan mereka tidak lagi mampu menampung perbelanjaan secara berterusan.”
PSSI mengisytiharkan Mac hingga Jun 2020 sebagai keadaan kahar atau force majeure (darurat atau keadaan luar jangka) serta mengizinkan kelab untuk menggaji pemain mereka pada kadar maksimum 25 peratus daripada jumlah yang dipersetujui dalam kontrak sepanjang tempoh itu.
Sambil mengambil maklum bahawa kelab terikat dengan kontrak pemain yang bersifat peribadi, Windsor tetap menasihatkan pemain untuk mengambil pendekatan realitistik dan pragmatik.
“Walaupun kita maklum kelab diwajibkan membayar gaji penuh kepada pemain, kita tidak boleh mengharapkan sedemikian seandainya mereka tidak ada pendapatan. Bincanglah dengan pasukan dan kaji tawaran yang mereka kemukakan.”