Walaupun penularan wabak COVID-19 memberikan kesan kepada sumber pendapatan pasukan, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tetap tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan gaji pemain.
PFAM menganggap, pemain tidak sepatutnya dijadikan mangsa korban hanya kerana majikan mereka tidak mampu menjana pendapatan pasukan.
“Pandemik Covid-19 adalah suatu keadaan yang di luar jangkaan kita selama ini. Malah dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia juga memberikan impak besar kepada keseluruhan kehidupan kita selaku rakyat.
“Sebagai respon kepada kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh FAM dan MFL yang meminta agar setiap pihak bertolak ansur demi menjaga kestabilan kewangan kelab, dengan hormatnya kami ingin mengemukakan pandangan yang berbeza.
“Kami berpendirian bahawa kontrak perlu dihormati dan dipatuhi sepertimana yang dipersetujui terutamanya berhubung isu pembayaran gaji.
“Bukan semua pemain meraih pendapatan yang lumayan dan sememangnya keperluan gaji amat mustahak di waktu ini.
“Ada yang terpaksa berbelanja lebih untuk menjaga isi rumah, ada juga yang terpaksa menanggung ahli keluarga yang tidak mempunyai pendapatan di waktu PKP ini dan pelbagai lagi hal-hal peribadi yang lain.
“Belum lagi dikira para pemain yang masih tidak mendapat gaji walau sebelum penangguhan liga berlaku. Seperti semua maklum, pasukan-pasukan yang memberi bayangan untuk pemotongan gaji adalah dalam kalangan pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji.
“Kita baru sahaja digemparkan dengan pendedahan pemain-pemain dari skuad Piala Presiden dan Belia Kelantan bagi musim 2019 yang masih tidak mendapat gaji mereka.
“Kita juga dimaklumkan bahawa pasukan Melaka United telah dipotong mata atas kegagalan melunaskan bayaran seperti yang dijanjikan. Maka apakah nasib dan pilihan yang ada buat para pemain yang terkesan ini untuk kelangsungan hidup mereka?”