Liga Super Malaysia Berita

1 Jun tarikh paling sesuai untuk Liga Malaysia disambung semula?

1 Jun dilihat tarikh paling sesuai untuk saingan liga Malaysia disambung semula selepas kerajaan melanjutkan perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April.

Bagaimanapun, jika Liga-M disambung semula pada tarikh itu, ia akan memberi tekanan kepada pihak MFL dan FAM yang kesuntukan masa apabila kalendar FIFA yang baharu dijadualkan pada September, Oktober dan November depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, perkara itu perlu mempunyai perbincangan lebih awal di antara kedua pihak supaya tiada pertindihan jadual yang bakal menimbulkan masalah pelepasan pemain.

“Kami sudah amalkannya sejak dua tahun lalu,” katanya kepada Astro Arena.

“Apa yang kami hadapi ketika ini bukan mudah jadi perbincangan di antara FAM dan MFL sentiasa penting untuk memastikan kalendar itu dapat dilakukan bersama-sama bagi memastikan saingan tempatan tidak bercanggah dengan peringkat antarabangsa.

“Akan ada masalah kalau tidak ada perbincangan awal dan dengan langkah ini, ia boleh dielakkan.”