Malaysia Berita

Perlis Hanya Boleh Kembali Jika Semua ‘Hutang’ Selesai

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam menegaskan bahawa pasukan Perlis hanya boleh kembali beraksi di dalam kancah Liga Malaysia jika segala masalah yang dihadapi oleh mereka diselesaikan terlebih dahulu.

Sebelum ini, Perlis telah diketepikan daripada saingan Liga Malaysia selepas didapati tidak mampu untuk meneruskan saingan dengan kewangan yang terhad.

Mereka juga didapati gagal melunaskan gaji pemain musim lalu serta terpalit dengan isu tunggakan gaji pada musim ini.

Menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara untuk menyingkirkan Perlis selepas mendapati pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan bagi terus bertahan musim ini.

Kevin dalam satu kenyataan beliau di Berita Harian menyatakan pasukan Perlis hanya boleh kembali beraksi jika mereka dapat menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku.

“Perlis disingkirkan daripada saingan Liga Perdana dan jika mereka mahu membuat permohonan untuk mendaftarkan pasukan sekali lagi, pertimbangan hanya akan diberikan kalau semua isu berkaitan tunggakan gaji diselesaikan.

“Pendaftaran mereka untuk menyertai mana mana peringkat liga tidak boleh diterima jika pasukan itu masih bergelut dengan masalah dihadapi,” katanya.