Liga Super Malaysia Berita

Pahang FA dapati Sumareh bersalah, kenakan hukuman gantung dua tahun

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mendapati bekas pemainnya Mohamadou Sumareh bersalah terhadap empat kesalahan, sekali gus mengenakan hukuman gantung dua tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PBNP Rizal Chek Hashim berkata, memandangkan hukuman bagi keempat-empat kesalahan itu dilakukan ketika Sumareh masih lagi pemain Pahang, hukuman itu berjalan serentak dan dia hanya perlu menjalani hukuman selama dua tahun.

“Pertuduhan ini telah melalui proses notis dan pendengaran seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang PBNP,” katanya kepada Bernama.

“Pemain terlibat telah diberikan notis sebanyak dua kali, bagi menjawab pertuduhan terhadapnya.”

Rizal juga mendedahkan Sumareh telah diminta untuk berdepan dengan Jawatankuasa Tatatertib PBNP bagi menjawab semua pertuduhan terhadapnya, namun pemain itu memilih untuk tidak hadir.

Katanya, hukuman tersebut akan diberitahu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), untuk tindakan selanjutnya.

Sumareh berdepan dengan empat pertuduhan iaitu beliau didapati telah membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran PBNP, yang telah melanggar artikel 61 kod tatatertib FAM, artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 Perlembagaan PBNP 2004.

Bagi pertuduhan kedua, Sumareh didapati telah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain kerana merujuk terus kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (Dispute Resolution Chamber), tanpa terlebih dahulu merujuk kepada FAM.

Pertuduhan ketiga pula melibatkan kegagalan Sumareh menghadirkan diri ke sesi latihan bersama pasukan mulai 3 hingga 28 Ogos lalu.

Pertuduhan keempat ialah Sumareh gagal menghadiri perlawanan Liga Super bertarikh 28 Ogos lalu antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim, yang merupakan pelanggaran artikel 5.1 kontraknya.