Kolum Eropah

Haland ikut jejak Lewandowski

Jika Bayern Munich ada Robert Lewandowski, Red Bull Salzburg pula ada Erling Haland. Terdapat perbezaan dan persamaan antara kedua-dua pemain ini.

Awal pagi tadi, Haland sekali lagi menjadi peledak buat Salzburg selepas menjaringkan dua gol dalam aksi menentang Napoli. Walaupun pasukannya tewas 3-2, tetapi fokus perbincangan kini tertumpu kepada Haland.

(Photo by Andreas Schaad/Bongarts/Getty Images)

Pemain berusia 19 tahun ini merupakan pemain pertama dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah untuk menyumbat enam gol dalam tiga perlawanan pertama. Penyerang berbisa ini juga telah meledak 11 gol dalam sembilan penampilan dalam Liga Bundesliga Austria.

Persamaan Haland dan Lewandowski adalah saiz fizikal dan ketajaman penyudah di depan gol. Kelebihan fizikal yang ada pada pemain penyerang sangat penting kerana bola sepak hari ini begitu terkenal dengan permainan keras. Kedua-dua penyerang ini juga boleh diibaratkan sebagai mesin gol buat pasukan masing-masing. 

Perbezaan yang paling ketara adalah pada usia. Haland masih muda dan perjalanannya juga masih jauh. Andai kata Haland mampu meneruskan kecemerlangan ini, tidak mustahil untuk kelab-kelab besar seperti Manchester United, Real Madrid, atau Juventus untuk menawarkan kontrak lumayan.

Salzburg mempunyai beberapa lagi pemain berkualiti seperti Hwang Hee Chan dan Takumi Minamino.