Malaysia Berita

Terima kasih kerana berjuang demi lencana di dada – FAM

Kemenangan besar ke atas Timor Leste pada Jumaat dan malam semalam jelas menggembirakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila beliau menghamburkan pujian kepada skuad Harimau Malaya.

Aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 skuad negara bermula baik apabila mencatat kemenangan 12-2 secara agregat.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah buat Harimau Malaya atas kemenangan kedua dan layak ke peringkat seterusnya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan negeri dan kelab yang mewakilkan pemain masing-masing berjuang demi lencana di dada.

“Paling utama, terima kasih saya ucapkan kepada pemain dan pegawai rasmi skuad kebangsaan yang sanggup berjuang pada minggu Hari Raya ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook FAM, hari ini.

Malaysia berjaya menewaskan Timor Leste, 7-1 pada perlawanan pertama dan meneruskan rentak kemenangan 5-1 semalam apabila Shahrel Fikri muncul wira pasukan apabila berjaya meledak hatrik.

Malaysia akan ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan 40 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada lapan kumpulan dan undian hanya akan dijalankan pada 17 Julai depan.