Luar Negara Berita

Pemain berdarah Jamaica-Malaysia, Kobe Chong intai peluang beraksi buat skuad negara

Perkembangan bola sepak tempatan semakin hari semakin meluas, bukan sahaja terarah kepada bakat tempatan, tetapi juga bakat luar yang mempunyai pertalian dengan Malaysia.

Kita sudah melihat bagaimana Brendan Gan, pemain tengah pasukan Perak yang mempunyai pertalian Malaysia-Australia mewakili skuad Harimau Malaya pada 2016 dan pada tahun ini, pertahanan kiri Johor Darul Ta’zim yang dilahirkan di England dan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, La’Vere Corbin-Ong mewakili Harimau Malaya pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste baru-baru ini.

Terbaru, pemain berdarah campuran Malaysia dan Jamaica, Kobe Chong sedang mengintai peluang tersebut.

Berumur 17 tahun, anak muda ini mempunyai pertalian darah dengan Malaysia apabila neneknya dilahirkan di Perak, Malaysia. Selain daripada itu, Kobe juga mempunyai campuran China dan Jamaica.

Kobe memulakan karier beliau selaku pemain dengan menyertai West Bromwich Albion  pada musim 2010/12 sebelum memilih untuk menyertai Kidderminster Harriers selama dua musim iaitu dari 2014 sehinggalah 2016.

 

Pada penghujung 2016, beliau memilih untuk berpindah ke Itali bagi menyertai Cagliari Calcio B-17.

Beliau membuat debut pertama pada Sep 2017 bersama Cagliari Calcio B-17 ketika berumur 16 tahun di bawah kendalian pengurus muda Itali, Martino Melis.

Dengan memakai jersi nombor 16, Martino Melis suka meletakkan Kobe di bahagian tengah menyerang, di mana kemampuan beliau banyak terhasil daripada posisi tersebut. Selain daripada itu, Kobe sering diletakkan di bahagian sayap kiri ketika mewakili Cagliari.

Kobe menjaringkan gol pertama beliau buat Cagliari adalah pada Nov 2017, ketika menentang pasukan senior Cagliari.

Selepas menghabiskan hampir setahun di Cagliari, pemain berusia 17 tahun ini pulang ke England pada musim 2018/19 bagi mencuba nasibnya bertapak kembali ke England.

Hasilnya, beliau berjaya mencuri tumpuan apabila berjaya mengejutkan wakil pencari bakat kelab Liga Perdana Inggeris dan Liga Kejohanan termasuk Middlesborough dan Huddersfield Town.

Dalam perkembangan lain, Kobe baru-baru ini menandatangai kontrak dengan Rock Sport Management, sebuah badan bola sepak yang bertapak di Chelsea, di mana mereka bertanggungjawab dalam menguruskan kontrak dan perpindahan pemain.

Kepakaran mereka dalam menempatkan beberapa bakat muda di kelab terbesar England pasti akan dimanfaatkan Kobe dalam misi untuk mendapatkan peluang bermain secara profesional.

Selain daripada itu, salah seorang wakil Rock Sport Management telah mengadakan satu pertemuan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini bagi menyatakan minat pemain mereka yang bersemangat untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Dalam masa terdekat nanti, diharapkan rakyat Malaysia mampu melihat kelibat Kobe dalam jersi Harimau Malaya dan menggunakan pengalaman luas beliau ketika beraksi di beberapa kelab Eropah untuk membantu skuad negara.

Seperti setiap pemain bola sepak, Kobe mempunyai impian untuk bermain di peringkat tertinggi. Oleh itu, beliau perlu memberi tumpuan kepada pembangunan sebagai pemain supaya beliau boleh bersaing dalam Piala Dunia untuk Harimau Malaya.