Dua pemain skuad B-18 kebangsaan, Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar berlepas ke Tokyo, Jepun dari KLIA, Sepang, malam ini bagi menyertai program ASIAN ELEVEN yang akan berlangsung dari 13 hingga 23 Jun 2019 di Fukushima.
Hadir menghantar kedua-dua pemain berkenaan di KLIA, sebentar tadi adalah Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal; Ketua Cawangan Sukan Berpasukan MSN, Shukri Harun dan Timbalan Pengarah Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Tsuyoshi Kurihara.
Kemuncak program berkenaan bakal menyaksikan pasukan ASIAN ELEVEN akan bertemu Pilihan Tohoku B-18 pada perlawanan persahabatan antarabangsa bagi merebut JapaFunCup di Stadium J-Village, Fukushima pada 22 Jun 2019.
Ali Imran dan Harith Haiqal yang kedua-duanya berusia 17 tahun merupakan pemain dari Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang berpusat di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.
“Sudah tentu ini peluang terbaik untuk kami berdua menunjukkan kebolehan dan membuktikan bahawa orang Malaysia pun boleh bermain bola sepak di tahap yang tinggi.
“Tempoh latihan seminggu di Jepun nanti akan saya gunakan untuk membentuk gandingan terbaik bersama rakan-rakan baharu,” kata Ali Imran yang beraksi di posisi pertahanan.
Pemain tengah, Harith Haiqal pula menambah: “Walaupun akan bersaing merebut tempat dengan pemain berusia 18 tahun dari negara Asia Tenggara lain, saya rasa tiada masalah bagi kami berdua kerana beza usia hanya setahun saja.
“Di sana nanti, saya akan cuba belajar sebanyak mana ilmu mengenai bola sepak dan bertekad untuk memberikan persembahan yang terbaik.”
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Sri Subahan Bin Kamal turut hadir di KLIA bagi memberikan kata-kata semangat dan motivasi serta mengucapkan selamat jalan kepada Ali Imran dan Harith Haiqal.
“Saya doakan Ali Imran dan Harith Haiqal dapat melakukan yang terbaik di sana nanti.
“Terima kasih kepada Japan Foundation Asia Center (JFAC) di atas inisiatif ini. Sekurang-kurangnya ia memberi peluang kepada pemain-pemain muda dari Asia Tenggara mempamerkan bakat dan kemampuan mereka berdepan pasukan dari Jepun.
“Kami di FAM dan NFDP mengalu-alukan program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang,” kata Dato’ Sri Subahan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP.
Ali Imran dan Harith Haiqal dijadual kembali ke tanah air pada 24 Jun 2019. – FAM