Luar Negara Berita

Liga Super : PJ City mahu tewaskan Perak di Kelana Jaya

Setelah berehat panjang daripada aksi antarabangsa dan juga cuti Hari Raya Aidilfitri, Liga Super bakal bersambung kembali dengan minggu ke 16.

Pertembungan minggu ini lebih terarah kepada pertemuan Perak dan PJ City. Kedua-dua pasukan sekarang hanya dibezakan hanya dengan satu mata, di mana PJ City berada di kedudukan ke-9 dengan 17 pungutan mata, manakala Perak pula berada di kedudukan ke-8 dengan 18 pungutan mata.

Kelebihan semestinya berpihak kepada Perak yang mempunyai barisan pemain berpengalaman serta tonggak penyerang mereka, Shahrel Fikri yang membantu Harimau Malaya menumpaskan Timor Leste dengan jaringan hatrik beliau.

Perak semestinya mahu kembali bangkit mencipta kemenangan selepas hanya berjaya mencatat satu kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir mereka. Barisan pemain Mehmet Durakovic semestinya mahu melupakan kekalahan di tangan Melaka United sebelum Liga Super berehat panjang.

Bagi PJ City pula, para pemain perlu kekal fokus jika mahu meningkatkan rentak persembahan mereka apabila hanya mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan dalam tiga aksi terakhir Liga Super.

Perlawanan yang bakal berlangsung di halaman sendiri perlu digunakan sebaik mungkin untuk anak buah K Devan selepas dikhabarkan bahawa barisan pemain akan berusaha untuk menamatkan kempen kali ini di kedudukan enam teratas.

K Devan berkata kepada media, “kekalahan kepada PKNS adalah satu peringatan. Mereka sedia bangkit kembali dan menebusnya dalam perlawanan dengan Perak. Jalan terbaik ialah menumpukan kepada dua perlawanan di tempat sendiri pada masa ini.

“Kami ada dua peluang besar. Perlawanan ini (menentang Perak) dan apabila kami bermain dalam perlawanan seterusnya berhadapan FELDA United.

“Anak buah saya semuanya bersedia, amat berkeyakinan dan dan akan berjuang untuk kemenangan sehingga minit terakhir.

“Bagi saya dua perlawanan di tempat sendiri nanti adalah perlawanan penting buat kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.