Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : Pertembungan Tok Gajah, Helang Merah jadi tumpuan

Pertembungan Kedah dan Pahang bakal menjadi pertembungan tumpuan minggu ini apabila kedua-dua pasukan bakal bertembung di gelanggan keramat Helang Merah, Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Kedah mempunyai rekod yang baik selama bermain di halaman sendiri apabila masih mempertahankan rekod tanpa kalah di Darul Aman biarpun tewas dua perlawanan dalam tiga aksi terakhir mereka.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak akan mempertaruhkan barisan hadapan mereka – Fernando Rodriquez, Jonathan Bauman dan Zaquan Adha – dalam misi mengutip tiga mata penuh.

Skuad kendalian Dollah Salleh pula bakal turun dengan tempang apabila bakal beraksi tanpa tiga tonggak utama – Herold Goulon, Mohd Faisal Rosli dan Mohamadou Sumareh – yang mengutip tiga kad kuning.

Tetapi Pahang mempunyai kelebihan apabila tiga daripada empat tonggak utama mereka adalah pemain yang bertanggungjawab mencipta kemenangan buat Malaysia pada aksi kelayakan Piala Dunia menentang Timor Leste minggu lalu.

Semestinya para pemain ini bakal mengekalkan persembahan baik mereka bersama skuad Pahang.

Bagi Dollah Salleh, beliau tidak nampak ini sebagai satu alasan untuk para pemain mencipta kemenangan.

“Sesi latihan dijalankan selepas cuti Aidilfitri menunjukkan kesungguhan semua pemain merebut tempat dalam kesebelasan utama, jadi saya percaya mereka boleh memikul tanggungjawab dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Bagi pemain tengah baharu Kedah, Edgar Bernhardt mahu memberi kemenangan buat Kedah menjelang aksi pertemuan dengan Pahang nanti.

Pemain tengah yang pernah menggalas tugas sebagai kapten Kyrgyzstan itu mensasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Kedah yang kini di tangga ketiga liga dengan Melaka United dan Selangor turut mengumpul jumlah mata yang sama.

“Saya yakin dengan kerjasama, sokongan serta perancangan semua pihak termasuk penyokong, kita mampu mencapai kejayaan seperti  yang dirancang.”