Liga Super Malaysia Berita

Luqman Hakim Shamsudin tangguh lagi pergi Eropah

Luqman Hakim Shamsudin terpaksa menunggu lebih lama untuk menyertai kelab Liga Satu Belgium, KV Kortrijk ekoran wabak COVID-19.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berkata buat masa ini Luqman masih menjalani latihan bersama pasukan Selangor II.

“Akhir bulan lalu dia sepatutnya berlepas ke Cardiff,” katanya kepada Arena Metro.

“Tapi pihak Cardiff menasihatkan supaya jangan sebab isu Covid-19 yang melanda Eropah adalah serius dan akan beri risiko kepada Luqman. Kami pun terima kalau Cardiff tak galakkan dia pergi dan dia hanya akan terus pergi ke Belgium pada penghujung bulan ini.

“Dekat Eropah pun sekarang isu Covid-19 tengah berleluasa, jadi kita tak boleh nak kata apa sebab mungkin tertangguh lagi. Tapi sebab nak masuk musim bunga, mungkin masalah ini akan kurang sikit.”

Luqman sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di Cardiff City sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, namun pemergiannya tertangguh sebanyak dua kali termasuk kegagalan mendapatkan visa.

“Sudah tentu Luqman dah tak sabar nak pergi ke luar negara sebagai pemain profesional dan dia memang teruja nak beraksi di sana. Komitmen dan semangat dia masih membuak-buak dan membara. Dia sedar bukan senang beraksi di sana dan sebab itu dia berusaha keras kerana pergi bukan untuk bercuti.

“Kami pun gembira ada pemain macam dia yang memiliki mental dan karakter yang sangat baik dan saya harap dia kekalkan sikap sama apabila berada di sana nanti.”