Liga Super Malaysia Berita

Selepas 5 tahun di JDT, Amer Saidin sertai PJ City

Amer Saidin akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan JDT dan menyertai kelab PJ City bagi saingan musim 2020.

Ia satu perubahan besar buat pemain 27 tahun itu, selepas lima tahun menetap di Johor Bahru.

Beliau menyertai JDT selepas meninggalkan Harimau Muda pada 2015, namun gagal mendapat tempat dalam skuad utama dan berpindah ke JDTII pada 2017.

Selepas tiga tahun di Liga Perdana, Amer mahu meneruskan kariernya dengan pasukan lain.

“Semua orang tahu JDT mempunyai fasiliti berkelas dunia tapi sudah tiba masanya saya berhijrah dan melanjutkan lagi karier bolasepak saya,” katanya kepada The Star.

“Saya tak nampak ini sebagai satu masalah besar. Saya rasa keadaannya sama macam baru nak mulakan karier balik, perkara yang sama saya pernah rasa masa keluar dari Harimau Muda dahulu.

“Sukar untuk mendapatkan tempat dalam pasukan sekarang ini terutamanya di Liga Super dengan ramai bakat baharu muncul. Saya melihat PJ City sebagai platform yang baik untuk saya menghidupkan kembali karier dan menambahkan keyakinan diri selepas tiga beraksi di Liga Perdana.”

Katanya, beliau menyertai PJ City disebabkan Safee Sali dan K. Gurusamy yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Safee dan Gurusamy adalah faktor mengapa saya sertai PJ City. Mereka pernah beraksi bersama-sama sebelum ini dan saya harap saya boleh mengembalikan semula prestasi terbaik apabila bermain bersama mereka.

“PJ mempunyai ramai muka baharu pada musim ini dan mereka mempunyai kualiti untuk bersaing dalam Liga Super walaupun dianggap underdog.”