Liga Super Malaysia Berita

Piala Meizhou Hakka 2020: Selangor terpaksa bayar RM300,000 selepas tarik diri

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terpaksa membayar pampasan sebanyak RM300,000 selepas membuat keputusan untuk menarik diri daripada Piala Meizhou Hakka 2020 semalam, ekoran penularan wabak koronavirus di China.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata walaupun pampasannya agak tinggi, beliau tetap perlu mengutamakan keselamatan pasukannya.

“RM300,000 mungkin jumlah yang telah mereka telah belanjakan daripada segi penerbangan dan semua kemudahan,” katanya kepada Stadium Astro.

“Tiket juga telah jual. Kesan memang agak besar terhadap kewangan kami tetapi kebajikan pemain paling utama.

“Perkara ini berlaku pada saat-saat akhir. Penyakit ini baru muncul, sebelum ini hanya wabak Influenza, sebab itu kami terpaksa buat keputusan drastik.”

Bagaimanapun, dua pasukan jemputan lain iaitu kelab Korea Selatan, Sangju Sangmu serta kelab Thailand, Chonburi FC, tetap meneruskan penyertaan dalam kejohanan tersebut.