Liga Premier Malaysia Berita

Selepas Kuala Lumpur II ditolak, KL Rovers bakal menjadi pelapis pasukan Kuala Lumpur

Walaupun cadangan untuk menubuhkan pasukan feeder Kuala Lumpur II ditolak MFL, KLFA tetap meneruskan agendanya menubuhkan sebuah pasukan pelapis iaitu KL Rovers supaya dapat bertanding di Liga M3.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata penubuhan kelab tersebut akan dapat memberikan pendedahan kepada pemain muda sekaligus melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti untuk diserap masuk ke pasukan utama.

Dengan adanya KL Rovers, Kuala Lumpur menganggap ia dapat mencerahkan peluang mereka untuk ke Liga Super musim depan.

“Kami bercadang untuk menubuhkan satu kelab bagi memperkembangkan lagi mutu pemain sedia ada selepas kurang diberikan pendedahan dan waktu beraksi,” katanya kepada Stadium Astro.

“Ia sebagai pelan jangka panjang untuk kepentingan skuad utama dengan syarat ia perlu mendapat kelulusan MFL.

“Mengikut perancangan sedia ada, KL Rovers akan dijadikan tumpuan untuk memperkuatkan barisan pemain agar lebih bersedia untuk bersaing di Liga M3.”

KL Rovers dijangka menggabungkan barisan pemain berpengalaman dan pemain muda.

Sebelum ini, MFL menolak penubuhan Kuala Lumpur II selepas didapati tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh MFL, termasuklah tidak layak menyertai Liga M3.