Liga M3 Liga M4

Kerana kekangan kewangan, SAMB FC turun Liga M4

Pengurusan Syarikat Air Melaka Berhad FC (SAMB FC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga M3 kerana kekangan kewangan yang dihadapi.

Malah, keputusan itu dibuat selepas presiden pasukan serta CEO syarikat itu, Datuk Mohd Khalid Nasir meletakkan jawatannya dan mereka kini dibawah pengurusan baharu.

Bagaimanapun, mereka akan menyertai Liga M4 musim ini.

Pengurus pasukan, Fairullizam Ishak berkata pengurusan lama sebenarnya berhasrat supaya pasukan itu terus kekal dalam saingan Liga M3, namun masalah tajaan dan kekangan kewangan memaksa mereka untuk menarik diri.

“Pengurusan baharu tidak begitu setuju dengan idea memberi peruntukan kepada SAMB FC untuk M3,” katanya kepada Arena Metro.

“Fokus perbelanjaan adalah kepada perkara berkait tanggungjawab hakiki.”

Fairullizam merujuk kepada peruntukan syarikat akan lebih tertumpu kepada persediaan mengharungi krisis bekalan air yang dijangka berlaku di Melaka.

SAMB FC menamatkan saingan Liga M3 di kedudukan ke-8 selepas merekodkan 9 kemenangan, 6 seri dan 11 kekalahan musim lalu.

Syarikat Air Melaka Berhad merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibawah naungan kerajaan negeri Melaka.

Ini merupakan kali pertama SAMB FC beraksi di Liga M4, selepas empat tahun beraksi di liga divisyen ketiga.