Liga Super Malaysia Berita

Selangor tidak jadi sertai kejohanan pra-musim di China

Selangor membuat keputusan untuk membatalkan penyertaan dalam kejohanan pra-musim di China berikutan wabak koronavirus yang semakin berleluasa di negara itu.

Red Giants sepatutnya menyertai kejohanan Piala Meizhou Hakka 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 28 Januari, namun mereka mengeluarkan kenyataan di laman sesawang rasmi dengan menyatakan keputusan untuk menarik diri.

“Selepas mempertimbangkan beberapa aspek penting dan nasihat daripada beberapa pihak, pengurusan FA Selangor membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai kejohanan pra-musim di China.

“Koronavirus adalah sebab utama keputusan ini harus dibuat untuk memastikan keselamatan pemain dan pegawai terjamin bagi mengelakkan virus tersebut merebak ke ahli keluarga masing-masing.

 

“FA Selangor memohon maaf kepada penganjur perlawanan iaitu Meizhou Hakka FC dan kami akan berusaha untuk menyelesaikan perkara ini dengan sebaik mungkin.”

Setakat ini sebanyak 26 kematian dicatatkan di Hubei, lokasi utama penyakit koronavirus tersebar dengan luas di China, manakala sebanyak 830 individu terkena penyakit itu.

Masyarakat di China yang sedang melakukan persiapan untuk Tahun Baharu Cina terkesan dengan wabak tersebut apabila pelbagai sambutan tahun baharu terpaksa dibatalkan.

Kerajaan China juga mengenakan sekatan kepada penggunaan pengangkutan awam, keretapi, bas, feri dan kapal terbang serta mengenakan sekatan jalan raya supaya penduduk tidak keluar masuk daripada bandar yang terlibat.

Kebanyakan negara termasuk Malaysia menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan sebarang hasrat untuk ke Wuhan atau mana-mana lokasi yang terlibat dengan koronavirus.

Kejohanan Piala Maizhou pula berlangsung di Meizhou, Guangdong, dan kedudukannya kurang daripada 1,000 km dari Wuhan, Hubei.