Liga Super Malaysia Berita

Chanturu pemain kelima tinggalkan Felda

S. Chanturu menjadi pemain kelima yang meninggalkan Felda United bagi saingan musim depan.

Pemain berusia 32 tahun itu mengikut jejak langkah empat pemain lain iaitu Hadin Azman yang berhjirah ke Kedah, Arif Fadzillah Abu Bakar menyertai Terengganu, Christie Jayaseelan ke PJ City dan Norazlan Razali yang menyertai Melaka.

Walaubagaimanapun, jurulatih Nidzam Jamil percaya kehilangan pemain tempatan berpengalaman akan diisi oleh empat pemain import berkaliber.

“Ketiadaan mereka sememangnya memberi kesan dalam mempersiapkan pasukan mengharungi cabaran getir dalam saingan Liga M musim depan,” kata Nidzam kepada Arena Metro.

“Tapi saya percaya dengan menyandarkan pemain sedia ada termasuk Jasazrin Jamaluddin yang juga pemain senior diharap membantu memperkasakan The Fighters.”

Felda telahpun mengumumkan empat pemain import iaitu penyerang Singapura, Khairul Amri, pemain tengah dari Jepun, Ryutaro Megumi, penyerang Argentina, Nicholas Velez dan pemain pertahanan Nikola Raspopovic dari Serbia.