Kolum Eropah

[VIDEO] Buffon cipta rekod

Bekas penjaga gol pasukan antarabangsa Itali, Gianluigi Buffon mencatat rekod selepas membuat penampilan ke-647 dalam Serie A Itali. Penampilan itu juga menyaksikan Juventus berjaya merampas takhta liga buat seketika waktu setelah menumbangkan Sampdoria 2-1.

Dua gol luar biasa yang dihasilkan Paulo Dybala dan Cristiano Ronaldo sudah cukup untuk memastikan skuad bimbingan Maurizio Sarri ini tidak tercicir mata. Buffon yang sebelum ini bertindak sebagai penjaga gol simpanan terpaksa diturunkan ekoran kecederaan yang dialami penjaga gawang utama, Wojciech Szczesny.

Perlawanan menentang Sampdoria merupakan perlawanan liga terakhir bagi tahun ini manakala Juventus bakal menghadapi Lazio dalam aksi akhir Supercoppa Italiana pada Isnin depan.

Rekod yang dicatat Buffon itu telah menyamai rekod yang sebelum ini dipegang bekas pertahanan AC Milan, Paolo Maldini. Selain itu, Buffon turut berjaya memecah rekod kelab Juventus yang sebelum ini dipegang Alessandro Del Piero.

Untuk pengetahuan, ini merupakan musim yang ke-18 buat Gianluigi Buffon bersama Juventus.