Kolum Eropah

Ole hanya perlukan tiga hari…

Manchester United kembali menunjukkan belang tersendiri selepas membenam penyandang juara liga, Manchester City 2-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris. Dua gol jaringan Marcus Rashford dan Anthony Martial sekaligus menangguh hasrat City untuk terus mendekatkan diri dengan pendahulu liga, Liverpool.

United turun sebagai pelawat ke Stadium Etihad dengan semangat yang positif selepas memperoleh kemenangan ketika menentang pasukan bimbingan Jose Mourinho, Spurs pada pertengahan minggu lepas. 

Ternyata, barisan serangan The Red Devils lebih cemerlang pada 30 minit pertama perlawanan. Serangan demi serangan dilancarkan sekaligus memaksa penjaga gol utama City, Ederson untuk berhempas pulas memastikan gawang tidak dibolosi.

Namun begitu, satu sepakan penalti yang dijaringkan oleh Marcus Rashford dan tendangan kaki kiri Anthony Martial sudah cukup untuk memberi tiga mata bermakna buat pasukan pelawat. Secara keseluruhan, barisan serangan United beraksi dengan cukup cemerlang. Gandingan Marcus Rashford, Anthony Martial, dan Daniel James jelas mengancam benteng pertahanan skuad bimbingan Pep Guardiola.

Sementara itu, pengendali utama Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer gembira dengan keputusan yang diraih dalam dua perlawanan sebelum ini (menentang Manchester City dan Tottenham Hotspur).

‘Ianya bukan mudah untuk proses pemulihan pemain dalam masa 24 jam. Kami menewaskan pasukan Mourinho dan Guardiola dalam masa tiga hari. Para pemain bermain seperti pasukan Manchester United yang sebenar’, tegasnya lagi.

Nama Ole turut disebut-sebut untuk menjadi mangsa yang bakal dipecat mengikut jejak langkah Unai Emery dan Mauricio Pochettino yang melepaskan jawatan di pasukan masing-masing. Tetapi, prestasi semasa yang dipamerkan oleh anak buah Ole Gunnar Solksjaer seperti memberi isyarat untuk terus menggunakan khidmatnya.

Kemenangan tersebut meletakkan United kembali di landasan yang tepat dengan menduduki tangga kelima liga dengan pungutan 24 mata berkongsi dengan pasukan di tangga keenam, Wolverhampton Wanderers.