Malaysia Berita

Kedah selesa sebagai ‘underdog’

Pengendali utama Kedah, Aidil Sharin menegaskan pasukannya lebih selesa tampil sebagai pasukan ‘underdog’ menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini.

Skuad Helang Merah akan turun tanpa dua tonggak pertahanan utama Renan Alves dan Rizal Ghazali yang digantung perlawanan. Namun, Aidil sendiri belum pasti akan menurunkan siapa pada malam ini.

Aidil berkata segalanya tidak akan diputuskan sehingga hari perlawanan. Beliau mahu anak buahnya untuk memberikan yang terbaik kerana ini adalah perlawanan terakhir musim ini. Pemain-pemain juga perlu bersaing untuk mendapatkan tempat.

‘Kami akan turun sebagai satu pasukan dan berikan yang terbaik. Apa yang lebih mustahak ialah kesemua pemain diatas padang untuk menikmati perlawanan tanpa tekanan’, tambahnya lagi.

Ini merupakan final kedua dalam musim pertama buat pengendali dari Singapura ini. Sebelum ini, beliau berjaya membawa Kedah ke final Piala FA dan muncul sebagai Juara selepas menewaskan Perak 1-0.

Perlawanan akhir ini lebih sukar daripada sebelum ini kerana kami berhadapan dengan pasukan yang kuat dan lebih baik. Tambahan lagi, kami hanya mempunyai masa singkat untuk kembali cergas selepas mengharungi detik mencemaskan di Kuantan.