Manchester City mudah menewaskan Southampton 3-1 dalam aksi Piala Carabao di Stadium Etihad semalam.
Dua gol jaringan Sergio Aguero dan satu lagi melalui Nicolas Otamendi sudah cukup untuk membawa The Citizens mara ke peringkat seterusnya. City merupakan penyandang Juara Piala Carabao pada musim lepas.
Pep Guardiola menurunkan skuad gabungan pemain muda dan berpengalaman. Sebagai pasukan pilihan, City begitu mendominasi perlawanan dengan sembilan percubaan tepat dicipta.
Begitu pun, anak buah Ralph Hasenhuttl tidak mudah mengalah dan menghadiahkan gol saguhati kepada penyokong setia di hujung babak kedua menerusi tandukan Jack Stephens.
Southampton bertandang ke Etihad dengan harapan tidak mengulangi persembahan buruk minggu lepas yang menyaksikan mereka diratah 9-0 oleh Leicester City di gelanggang sendiri.
Kecemerlangan penjaga gawang Southampton, Alex McCarthy ketika beraksi semalam berjaya mengelakkan pasukannya tewas dengan jumlah jaringan gol yang besar.
Dalam pada itu, Sergio Aguero menghadiahkan dua gol pada penampilan ke-350 buat Manchester City. Penyerang Argentina itu menyertai City dari Atletico Madrid pada 2011 dan telah menjaringkan 243 gol secara keseluruhan.
Sepanjang lapan musim bersama City, Aguero telah meraih empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan menjulang satu Piala FA.