Eropah Berita

Rashford mengganas

Dua gol jaringan Marcus Rashford berjaya menumbangkan Chelsea di halaman sendiri awal pagi tadi.

Manchester United yang turun ke Stamford Bridge dengan prestasi terumbang-ambing menang tipis 2-1 dalam aksi pusingan 16 pasukan terakhir. Dua gol jaringan Marcus Rashford menerusi sepakan penalti dan sepakan percuma memadam gol penyamaan Michy Batshuayi seterusnya membawa United layak ke peringkat seterusnya.

Ole Gunnar Solksajer tidak melakukan banyak pertukaran pada kesebelasan utama United dan menurunkan majoriti pemain berpengalaman. Brandon Williams merupakan satu-satunya pemain muda yang diturunkan semalam.

Sebaliknya, Frank Lampard memberi peluang kepada pemain muda seperti Marc Guehi, Reece James, dan Billy Gilmour untuk beraksi. Majoriti pemain-pemain utama direhatkan dan ada juga yang diletakkan di bangku simpanan.

(Photo by Matthew Peters/Manchester United via Getty Images)

Ternyata, Chelsea memiliki lebih ramai pemain muda berbakat yang mendapat kepercayaan Lampard berbanding Solksjaer yang lebih memilih jalan selamat dengan menggunakan khidmat pemain berpengalaman.

Pada perlawanan awal pagi tadi, The Red Devils sekali lagi memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan oleh Rashford. Ini merupakan sepakan penalti yang kelapan buat United dalam semua kejohanan. Mengikut statistik, United hanya berjaya menyempurnakan empat daripada lapan sepakan penalti yang dihadiahkan musim ini.

Kemenangan United juga turut memusnahkan misi balas dendam anak buah Lampard yang pernah dimalukan di Old Trafford pada Ogos lepas dengan jaringan 4-0 pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris.

Walaupun Chelsea menguasai perlawanan dengan mendominasi penguasaan bola tetapi ketajaman penyudah menjadi titik perbezaan buat kedua-dua pasukan.