Liverpool dan Arsenal mempamerkan persembahan berkualiti apabila kedua-dua pasukan seri 5-5 dalam saingan pusingan 16 pasukan terakhir Piala Carabao awal pagi tadi.
Pengendali kedua-dua pasukan menurunkan pemain-pemain muda dalam perlawanan tersebut. Jurgen Klopp membariskan pemain seperti Caomhin Kelleher, Sepp van den Berg, Neco Williams, dan Harvey Elliott. Manakala Unai Emery memberi kepercayaan kepada Gabriel Martinelli, Bukayo Saka, Joe Willock, dan Emiliano Martinez.
Pasukan tuan rumah mendominasi permainan dengan penguasaan bola sebanyak 67% dan mencipta enam percubaan tepat. Lima daripada enam percubaan tersebut berjaya disudahkan dengan baik oleh para pemain The Reds.
Lima gol Liverpool dijaringkan oleh James Milner, Alex Oxlade Chamberlain, gol sendiri daripada Shkodran Mustafi serta dua gol sumbangan Divock Origi.
Manakala Gabriel Martinelli menyumbat dua gol buat Arsenal sebelum dilengkapkan oleh Joe Willock, Lucas Torreira, dan Ainsley Maitland Niles.
Arsenal yang kembali menurunkan Mesut Ozil pula menghasilkan tujuh percubaan tepat dan berjaya memanfaatkan empat daripadanya. Penyerang muda Brazil, Gabriel Martinelli yang menyumbat dua gol semalam telah mengumpul tujuh jaringan daripada tujuh perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.
Serangan bertali arus daripada kedua-dua pasukan seringkali muncul dalam perlawanan. Mentaliti juara pada pemain Liverpool juga perlu dipuji kerana mereka ketinggalan empat kali dan mampu bangkit menyamakan kedudukan.
Kelemahan skuad The Gunners dalam mempertahankan gol pendahuluan bukanlah perkara asing bagi musim ini. Ini merupakan kali ketiga kegagalan skuad Unai Emery memperoleh kemenangan selepas mendapatkan gol pendahuluan.
Disamping itu, penyerang Liverpool, Divock Origi sekali lagi mengulangi sentuhan magisnya dengan menjaringkan gol cantik pada minit terakhir perlawanan sebelum membawa pasukannya ke penentuan sepakan penalti. Musim lalu, Origi merupakan watak penting dalam membawa Liverpool ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan dua jaringan bermakna ketika menentang Barcelona serta satu sumbangan gol pada perlawanan akhir bertemu Tottenham Hotspur.
Dani Ceballos gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas ditepis keluar Caomhin Kelleher sebelum Curtis Jones membawa Liverpool ke peringkat seterusnya dengan kemenangan 5-4.