Malaysia Berita

Renan Alves terlepas lagi

Kedah terpaksa melupakan khidmat pemain bek pertahanan tengah, Renan Alves bagi perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Pemain import dari Brazil itu yang terlepas aksi final Piala FA bersama Kedah pada Julai lepas terpaksa menelan kepahitan buat kali kedua. Bagai jatuh ditimpa tangga, skuad Aidil Sharin juga kehilangan seorang lagi pemain pertahanan, Rizal Ghazali yang turut digantung atas kutipan kad kuning.

Perkara ini pastinya memeningkan kepala Aidil yang tidak mempunyai banyak pilihan di bangku simpanan. Menentang pasukan yang berkualiti seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya memerlukan barisan pertahanan yang kebal.

Renan merupakan salah seorang penjaring gol bagi Kedah pada aksi dramatik di Stadium Darul Makmur Sabtu lalu. Pemain yang digelar ‘kereta kebal’ dikalangan penyokong Hijau Kuning ini mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol dan kehilangannya dalam skuad merupakan satu perkara yang merugikan.

Bek kanan, Rizal Ghazali juga beraksi cemerlang buat Kedah musim ini. Ketiadaan dua pemain ini akan menyebabkan Aidil terpaksa melakukan rombakan taktikal menjelang aksi final. Tugas berat juga bakal menanti seorang lagi pertahanan tengah Kedah, Shakir Hamzah yang akan mengetuai barisan pertahanan skuad Helang Merah sepertimana dilakukan ketika menentang Perak pada final Piala FA yang lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid telah mengesahkan bahawa pengadil tempatan akan mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.