Malaysia Berita

Mampukah Red Giants cipta kejutan?

Jika sebelum ini Selangor bangkit untuk menyingkirkan Perak pada aksi suku akhir, kali ini The Red Giants akan cuba untuk mengulangi perkara yang sama dalam misi wajib menang menentang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Seperti yang sedia maklum, JDT sememangnya pasukan pilihan atas faktor kualiti pemain-pemainnya yang rata-rata mewakili pasukan kebangsaan. Sebut sahaja nama seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, dan Akhyar Rashid pasti selalu meniti di bibir peminat bola sepak tempatan.

JDT membawa bekalan satu gol selepas menewaskan Selangor 2-1 pada aksi terakhir di Stadium Larkin sabtu lepas. Syafiq Ahmad masih meneruskan momentum sebagai peledak utama dengan menyumbat satu gol dalam perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasukan memiliki peluang yang seimbang kerana para pemain mereka boleh dikatakan sama kuat jika dibandingkan diatas kertas. Hakikatnya, JDT lebih dominan dengan prestasi kedua-dua pemain import dan tempatan yang beraksi dengan sangat cemerlang. Safawi kini mendahului senarai penjaring gol terbanyak dengan tujuh gol manakala Diogo dan Gonzalo Cabrera masing-masing berkongsi enam gol.

Berbeza pula buat Selangor yang tidak konsisten dalam setiap perlawanan. Namun, kebangkitan bekas pemain kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri perlu diberi perhatian. Pemain sayap itu menyumbat dua gol ketika aksi suku akhir menetang Perak di Shah Alam. Gandingan Khyril Muhymeen, Ifedayo dan Syazwan Zainon perlu diawasi oleh pertahanan pasukan JDT. Trio ini mampu menghadirkan ancaman pada bila-bila masa sahaja.

Berdasarkan rekod, kali terakhir Selangor menang keatas JDT adalah pada saingan Liga Super 2017 hasil jaringan Amri Yahyah dan Andik Vermansyah. Setakat ini, JDT masih belum pernah tewas dalam mana-mana perlawanan Piala Malaysia 2019. 

Semua perlu akui, apa sahaja boleh berlaku dalam 90 minit di Stadium Shah Alam sabtu ini. Dilaporkan juga bahawa sejumlah 50,182 keping tiket telah terjual bagi perlawanan ini. Adakah dengan bantuan penyokong Selangor dapat membantu pasukan Merah Kuning menambat Harimau Selatan? Jangan lupa untuk saksikan perlawanan hangat ini secara langsung di aplikasi iFlix.

Kami di Football Tribe Malaysia meramalkan JDT akan menang 2-1 keatas Selangor.