Malaysia Berita

Tugas berat buat Kedah

Pahang bakal melayan kunjungan Kedah bagi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Makmur pada sabtu ini. Kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada separuh akhir pertama.

Secara umumnya, skuad Tok Gajah memiliki kelebihan berdasarkan gol di tempat lawan manakala tugas berat menanti anak buah Aidil Sharin. Kedah yang beraksi di gelanggang sendiri minggu lalu dilihat bergelut dan terpaksa bangkit tiga kali untuk menyamakan kedudukan.

Pahang mempunyai beberapa pemain kebangsaan seperti Matt Davies, Nor Azam Azih, Norshahrul Idlan Talaha, dan Mohamadou Sumareh. Jika dinilai secara individu, naib juara Liga Super 2019 ini ternyata lebih baik kerana majoriti pemain kesebelasan utama pernah beraksi di peringkat antarabangsa. Pengalaman mereka juga mampu disalurkan kepada pasukan.

Kedah selaku juara Piala FA 2019 pula lebih cemerlang bertindak sebagai satu pasukan. Walaupun memiliki beberapa pemain muda tetapi mereka mentaliti untuk berjuang dalam setiap perlawanan seharusnya dipuji.

Apa yang menarik perhatian ialah kelibat dua pemain iaitu Helmi Eliza dan Azamuddin Akil yang akan menentang bekas pasukan masing-masing.

Kali terakhir Helmi beraksi bersama Kedah adalah pada tahun 2012 sebelum berhijrah ke Felda United, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Negeri Sembilan. Pemain berusia 36 tahun ini kembali ke Darul Aman dengan mempamerkan persembahan cemerlang serta berjaya menyelamatkan satu daripada dua penalti yang diperolehi Kedah.

Empat tahun lepas, Azamuddin merupakan pemain penting buat skuad Tok Gajah. Namun, pemain yang berumur 34 tahun itu kini memainkan peranan penting buat skuad Helang Merah. Kemasukkan Azamuddin atau turut dikenali sebagai Alex pada perlawanan minggu lalu mengubah rentak permainan Kedah dan berjaya menghasilkan dua bantuan gol dalam usaha menyamakan kedudukan.

Berdasarkan rekod, Pahang begitu kebal di Darul Makmur jika bertemu Kedah. Buktinya, kali terakhir Kedah mencatat kemenangan keatas Pahang di Kuantan adalah pada sembilan tahun lepas dalam saingan Liga Super. 

Walau apa jua, segalanya boleh berlaku dalam bola sepak. Pahang hanya memerlukan seri tanpa jaringan untuk layak manakala Kedah perlu menang untuk layak ke perlawanan akhir. Jangan lupa saksikan perlawanan ini secara langsung di RTM TV1 dan iFlix.

Kami di Football Tribe Malaysia meramalkan Kedah akan menang tipis 2-1.