Nicolas Pepe akhirnya membuktikan kualiti bertaraf dunia apabila membantu Arsenal bangkit untuk menang keatas Vitoria SC 3-2 di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Pemain termahal Arsenal itu masuk menggantikan Alexandre Lacazette pada minit ke-75 dan memanfaatkan 15 minit diatas padang dengan dua jaringan cantik menerusi sepakan percuma. The Gunners yang diketuai Hector Bellerin dua kali ketinggalan pada babak pertama.
Unai Emery sekali lagi mempertaruhkan pemain muda dalam perlawanan Liga Eropah. Seperti kebiasaan, Mesut Ozil juga tiada dalam senarai pemain manakala beberapa pemain seperti David Luiz, Sokratis, dan Pierre Emerick Aubameyang direhatkan.
Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengendali Arsenal, Unai Emery. Arsenal mengulangi kesilapan yang sama seperti sebelum ini dengan melepaskan gol mudah kepada pihak lawan. Ini perlu diperbaiki kerana lebih banyak kesilapan yang dilakukan, maka lebih sukar untuk Arsenal mencapai kemenangan.
Pemain bek kiri. Kieran Tierney mempamerkan persembahan cemerlang dengan menghasilkan satu bantuan gol melalui hantaran silang yang disempurnakan Gabriel Martinelli. Taktikal Unai yang gemar menggunakan pemain bek kiri dan kanan untuk mara ke hadapan membantu serangan dilihat menjadi sekiranya menggunakan khidmat Hector Bellerin dan Kieran Tierney di posisi bek kanan dan kiri. Ini kerana kedua-dua pemain itu memiliki kepantasan dan kualiti hantaran lintang yang baik.
Kekurangan pengalaman pemain di bahagian tengah yang dikemudi Joe Willock dan Ainsley Maitland Niles membawa padah buat pasukan tuan rumah yang gagal mencipta peluang gol. Kekurangan kreativiti pemain muda ini perlu ditutup dengan menurunkan Mesut Ozil.
Dua sepakan percuma Nicolas Pepe yang hadir di hujung babak kedua sangat penting buat Arsenal yang ingin mengutip tiga mata penuh dalam saingan Liga Eropah. Kelihatan seperti Pepe sudah menemui rentak dan jika dia mampu terus menampilkan aksi seperti mana tanda harganya, maka tidak mustahil untuk pasukan utara London in untuk terus mengutip mata dalam perlawanan seterusnya.