Malaysia Berita

Tok Gajah gagal sekat Helang Merah

Pahang gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selepas diikat Kedah 5-5. Ianya sekaligus melayakkan skuad Helang Merah ke pentas final dengan kelebihan gol di tempat lawan.

Percaturan Dollah Salleh yang menerapkan permainan terbuka dilihat memakan diri apabila Kedah mencuri setiap peluang yang ada dan menterjemahkan kepada jaringan gol. Kesilapan pertahanan Pahang juga sedikit sebanyak membantu Kedah dalam usaha mencari gol. 

Beraksi dihadapan lebih kurang 29,000 penonton di Stadium Darul Makmur tidak sedikit pun mengganggu konsentrasi para pemain Kedah. Anak buah Aidil Sharin kekal fokus dalam memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan berlangsung. Tidak dapat dinafikan juga, tuah memihak kepada pasukan pelawat yang memperoleh gol ketiga menerusi sepakan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar. Bola yang telah melepasi garisan gol memberikan jaringan penyamaan buat Kedah pada hujung babak kedua.

Kedah bernasib baik kerana mampu memperoleh gol penyamaan sebelum waktu permainan sebenar tamat. Situasi yang sama berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman apabila Kedah dihadiahkan sepakan percuma dan seterusnya mendapatkan gol melalui sepakan percuma tersebut.

Perlawanan dramatik ini juga menyaksikan sembilan daripada 10 gol yang dijaringkan datang daripada pemain import kedua-dua pasukan. Penyerang Kedah, Fernando Rodriguez mencatat hatrik pada perlawanan ini, manakala Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi masing-masing menyumbat dua gol. Pemain berpengalaman Kedah, Baddrol Bakhtiar pula kini mengumpul lapan bantuan gol dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Dalam pada itu, Pahang berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah di Stadium Darul Makmur. Perlawanan ini juga telah mencatat rekod jaringan tertinggi bagi separuh akhir kedua sepanjang 98 tahun kejohanan ini berlangsung.