Malaysia Berita

Harimau Selatan menepati ramalan

Juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim mudah menewaskan Selangor 3-0 di Shah Alam. JDT layak ke peringkat akhir Piala Malaysia 2019 selepas menang dengan agregat 5-1.

Jika perlawanan dramatik di Darul Makmur menyaksikan senarai penjaring didominasi pemain import, tetapi Safawi Rasid membuktikan kualiti pemain tempatan dengan jaringan hatrik. Untuk rekod, pemain kebangsaan ini menjadi pemain tempatan pertama yang mencipta hatrik selepas kali terakhir dicatat oleh Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC) pada tahun 2017.

Skuad bimbingan B. Sathianathan termakan dengan taktikal pasukan Harimau Selatan pada perlawanan tersebut. Walaupun beraksi dihadapan 60,000 penyokong The Red Giants, ianya tidak mengganggu rentak permainan JDT. Selangor gagal memberi ancaman berbahaya kepada pasukan pelawat sepanjang perlawanan berlangsung. Peluang terbaik pasukan tuan rumah hadir melalui percubaan satu lawan satu Khyril Muhymeen Zambri yang kemudiannya diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias. 

Antara pemain yang mencuri tumpuan dalam perlawanan tersebut ialah pemain tengah JDT, Afiq Fazail yang menampilkan persembahan cemerlang dengan dua bantuan gol. Kualiti yang ditunjukkan pemain ini juga membuktikan JDT tidak hanya bergantung kepada pemain import sahaja.

Tiga gol jaringan Safawi Rasid itu kini meletakkannya sebagai penjaring gol terbanyak dalam Piala Malaysia 2019 dengan 10 jaringan. JDT bakal bertemu Kedah dalam aksi final yang akan berlangsung pada sabtu ini di Stadium Bukit Jalil.