Kolum Eropah

[VIDEO] Liverpool dan penalti

Liverpool terus melebarkan jurang mata sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 keatas Tottenham Hotspur di Anfield. Gol pendahuluan Spurs yang disumbangkan oleh Harry Kane seawal 49 saat dipadamkan melalui Jordan Henderson dan Mohamed Salah pada babak kedua.

Spurs dilihat mula bertahan selepas memperoleh gol awal. Serangan bertali arus dilancarkan anak buah Jurgen Klopp dalam usaha mendapatkan gol penyamaan gagal membuahkan hasil pada separuh masa pertama.

Namun, ketangkasan penjaga gol Spurs, Paulo Gazzaniaga yang beraksi cemerlang berjaya menggagalkan serangan pasukan tuan rumah. Gazzaniaga menyelamatkan 11 daripada 13 percubaan tepat yang dihasilkan oleh Liverpool dalam perlawanan tersebut.

Satu perkara yang menarik perhatian ialah tuah Liverpool yang menerima sepakan penalti selepas Sadio Mane dikasari Serge Aurier di dalam kotak penalti. Ini bukan kali pertama Liverpool dibantu oleh sepakan penalti kerana pada perlawanan sebelum ini, Liverpool juga dihadiahkan sepakan penalti ketika menentang Leicester City. Keputusan perlawanan juga sama seperti dalam perlawanan ini.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Walaupun begitu, Liverpool sememangnya menguasai keseluruhan permainan dengan penguasaan bola sebanyak 68% dan menghasilkan 21 percubaan ke arah gol serta memperoleh lapan tendangan sudut.

Untuk rekod, Liverpool merupakan salah satu pasukan yang masih belum tewas dalam liga domestik setakat ini. Turut sama mengikuti jejak langkah Liverpool adalah Wolfsburg dan Juventus.