Pemain penyerang antarabangsa Belgium, Dries Mertens mencatat sejarah pada perlawanan awal pagi tadi selepas menyumbat dua gol dan membantu Napoli menumbangkan Red Bull Salzburg 3-2.
Dua gol yang dijaringkan Mertens juga menjadikannya sebagai salah seorang penjaring terbanyak Napoli serta memecah rekod pemegang sebelum ini, Diego Maradona. Sepanjang tujuh musim, Mertens telah menjaringkan 116 gol. Rekod yang dipegang Maradona sebelum ini adalah sebanyak 115 gol. Besar kemungkinan Mertens bakal menjadi penjaring terbanyak Napoli jika menjaringkan lima gol lagi bagi memadamkan rekod yang dicatat Marek Hamsik iaitu sebanyak 121 gol.
Pemain berbadan kecil ini begitu berbahaya jika beraksi di bahagian sayap kerana mempunyai kepantasan serta penyudah yang cemerlang. Mertens juga merupakan salah seorang penjaring yang menjaringkan gol ketika membenam Liverpool 2-0 di halaman sendiri pada perlawanan pertama kumpulan E.
Dalam pada itu, perlawanan sengit diantara dua pasukan ini begitu menarik perhatian. Red Bull Salzburg selaku tuan rumah cuba untuk bangkit dua kali pada perlawanan ini tetapi gagal selepas Lorenzo Insigne memadam gol penyamaan Erling Haland dalam masa seminit.
Harapan palsu yang diberikan Napoli begitu mengecewakan para penyokong tuan rumah. Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gawang Napoli, Alex Meret yang beberapa kali menyelamatkan pasukan pelawat.
Dengan kemenangan ini, Napoli mengungguli kumpulan E dengan kutipan tujuh mata, satu mata dihadapan penyandang juara eropah, Liverpool.