Anak buah Frank Lampard berjaya menumbangkan pendahulu Liga Eredivise, Ajax hasil jaringan tunggal Michy Batshuayi. Batshuayi yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-71 menjadi wira pasukan dengan satu penyudah cantik hasil umpanan Christian Pulisic.
Ajax Amsterdam masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dan mendahului liga dengan 26 mata serta 31 jaringan. Sebagai tuan rumah, pastinya skuad Erik ten Hag mengidamkan kemenangan. Barisan pemain muda Ajax seperti Quincy Promes, Sergino Dest, dan Donny van de Beek sememangnya memiliki kualiti yang tersendiri.
Tambahan pula, pemain barisan serangan Ajax begitu tajam dalam saingan liga dengan Dusan Tadic dan Quincy Promes masing-masing telah menyumbang enam gol.
Bagi The Blues pula, pendekatan yang diambil Lampard untuk mengguna pakai pemain muda dilihat perlahan-lahan membawa hasil. Walaupun memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan kekalahan memalukan kepada Manchester United tetapi Chelsea kini semakin selesa. Menghuni tangga keempat liga pada ketika ini membuktikan taktikal yang diaplikasi itu sangat menjadi.
Pada perlawanan yang boleh diibaratkan sebagai pertembungan dua pasukan ubi, Chelsea dilihat lebih bernasib baik. Corak permainan kedua-dua pasukan sangat seimbang. Jika Quincy Promes menjadi ancaman buat The Blues, Mason Mount pula akan sentiasa memperdaya pertahanan Ajax.
Chelsea dan Ajax berkongsi enam mata selepas tiga perlawanan dalam kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Eropah.