Liga Super Malaysia

Lima perkara yang anda perlu tahu pada aksi Vietnam vs Malaysia

Vietnam mencatat kemenangan pertama dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kumpulan G khamis lepas. Gol tunggal jaringan Nguyen Quang Hai memadam impian skuad bimbingan Tan Cheng Hoe untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawana tersebut.

Malaysia perlu bangkit dan menang dalam dua perlawanan yang akan berlangsung pada November depan di Bukit Jalil bagi menghidupkan kembali peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya.

Berikut merupakan lima perkara yang anda perlu tahu sepanjang perlawanan tersebut berlangsung.

 

1.Malaysia buntu tanpa Azam

Kecederaan yang melanda pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih begitu mengganggu corak permainan Malaysia. Ketiadaan Azam sedikit sebanyak merencatkan enjin tengah yang dikemudi Brendan Gan dan Abdul Halim Saari. Halim beraksi dengan baik tetapi dia tidak mempunyai kebolehan seperti Azam yang mampu menghasilkan hantaran jauh yang tepat untuk membantu barisan serangan.

 

2.Asakkan bertubi-tubi keatas Davies

Jika dilihat pada dua perlawanan sebelum ini, Matthew Davies jarang diuji oleh pasukan lawan. Malah dia juga mampu membantu barisan serangan dah telah menghasilkan dua bantuan gol. Namun, pemain-pemain Vietnam lebih gemar melakukan serangan di bahagian kanan pasukan Malaysia. Gol yang diperolehi juga berpunca daripada gerakan yang terhasil di bahagian yang sama. Davies seolah-olah hilang punca dalam perlawanan malam tadi dan telah dilayangkan kad kuning pada minit ke-65.

 

3.Kesilapan ‘badak’

Pertahanan tengah Perak, Shahrul Saad yang juga dikenali dengan panggilan ‘badak’ sekali lagi melakukan kesilapan dengan membiarkan pemain Vietnam menjaringkan gol. Pada dua perlawanan sebelum ini, Shahrul juga telah melakukan kesilapan yang sama. Kesilapan yang berulang kali berlaku ini berpotensi untuk memadam impian skuad Harimau Malaya untuk layak ke pusingan seterusnya.

 

4.Pemain veteran

Terdapat beberapa pemain veteran di dalam skuad kebangsaan. Tidak dinafikan bahawa kita memerlukan pengalaman yang mereka miliki. Tetapi, soalnya adakah kita tidak mempunyai pemain muda yang mampu menggalas tugas dan menggantikan tempat pemain veteran tersebut. Pemain seperti Norshahrul Idlan Talaha sememangnya beraksi dengan baik bersama pasukan Pahang, namun perlu diingat bahawa ‘Mat Yo’ bergandingan bersama pemain import dalam pasukan Pahang. Situasi yang pastinya berbeza di kem pasukan negara.

 

5.Kualiti pemain serangan

Skuad Harimau Malaya mempunyai beberapa pemain serangan yang berkualiti seperti Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, dan Akhyar Rashid. Persembahan mereka ketika bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu cemerlang sekali. Namun, mereka kadangkala gagal mempamerkan corak dan kualiti permainan yang sama ketika menyarung jersi kebangsaan. Ternyata, Malaysia memerlukan lebih ramai lagi bakat serangan supaya dapat menambah sengat. Kehadiran pemain muda yang sedang meningkat naik, Luqman Hakim Shamsuddin mungkin dapat meningkatkan lagi kualiti di bahagian serangan skuad kebangsaan.