Kolum

Lukaku makin garang

Romelu Lukaku terus mempamerkan persembahan terbaik selepas membantu Inter Milan membenam musuh ketat, AC Milan 2-0. Lukaku dan Marcelo Brozovic mencatat nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut.

Percaturan Antonio Conte buat Inter pada musim ini sangat memuaskan hati. Inter mencatat empat kemenangan daripada empat perlawanan dan mendahului carta liga dengan pungutan 12 mata.

Perlawanan menentang AC Milan menunjukkan betapa kualitinya corak permainan anak buah Conte yang menghasilkan 16 percubaan sepanjang perlawanan. Inter tidak bernasib baik kerana dua kali percubaan mereka terkena tiang gol dan situasi tersebut sedikit sebanyak menyelamatkan maruah AC Milan yang kelihatan layu diatas padang.

Pengaruh yang dibawa Lukaku begitu terkesan sekali kepada semua pemain. Secara umum, pemilihan pemain di setiap posisi oleh Conte begitu memberi impak kepada pasukan. Diego Godin ditugaskan untuk memimpin barisan pertahanan, manakala Marcelo Brozovic dan Romelu Lukaku bertindak sebagai penggerak di bahagian tengah dan serangan.

Ini juga bukti kukuh bahawa kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda mampu untuk menghasilkan keputusan yang baik. Bekas bintang Manchester United dan Arsenal, Alexis Sanchez masih belum membuat penampilan bersama Inter. Pemain seperti Sanchez, Sensi, dan Politano mampu memberi impak yang maksimum kepada bahagian serangan. 

Tambahan, Conte jelas lebih berminat untuk menggunakan taktikal yang meletakkan hanya tiga pemain pertahanan. Conte hanya mengubah posisi pemain tengah sahaja untuk mengelakkan daripada dibaca pihak lawan. Kita perlu menunggu hingga pertengahan musim untuk melihat sejauh mana taktikal Conte ini pergi. Setakat ini, hanya Slavia Praha sahaja yang mampu mengekang asakan Inter apabila mereka seri 1-1. Inter akan bertemu Barcelona pada minggu hadapan bagi perlawanan kedua kumpulan F Liga Juara-Juara Eropah.