Kolum

Barca terus malang

Barcelona terus dirudum malang setelah tewas 2-0 di tangan Granada. Kekalahan kedua tersebut menjadikan musim ini sebagai permulaan musim terburuk dalam La Liga sejak 25 tahun yang lepas.

Pada musim 1994/1995, Barcelona hanya mampu mengutip lima mata daripada lima perlawanan. Permulaan perlahan pasukan bimbingan Ernesto Valverde disebabkan atas beberapa faktor.

Pertama ialah soal keserasian pemain dimana terdapat beberapa pemain baru seperti Frenkie de Jong dan Antoine Griezmann yang perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan yang lain. Walaubagaimanapun, prestasi kedua-dua pemain ini masih ditahap memuaskan. Griezmann telah menyumbat dua gol, manakalah De Jong menyumbang satu jaringan.

Selain itu, kecederaan bintang utama Lionel Messi juga mempengaruhi corak permainan Barcelona. Messi dilanda kecederaan paha pada pra-musim yang lalu. Namun, telah kembali beraksi pada perlawanan menentang Granada hujung minggu lepas.Kehilangan Messi di bahagian serangan begitu memberi kesan kepada Luis Suarez dan Antoine Griezmann dalam mencipta peluang jaringan. Trio ini dijangka akan kembali menyengat pada perlawanan akan datang.

Fakta juga menyatakan bahawa Barcelona menghadapi kesukaran ketika beraksi di tempat lawan. Buktinya, Barcelona tewas dua kali dan seri sekali ketika bertandang ke gelanggang lawan pada musim ini. Situasi menjadi pelik dan menghairankan apabila Barcelona mampum mencatat jaringan besar dan menang di depan penyokong sendiri. Oleh yang demikian, perhatian khusus perlu diberikan oleh Ernesto Valverde dalam membentuk pasukan yang mampu bersaing di gelanggang sendiri dan di gelanggang lawan.

Namun, perkembangan positif yang dapat diambil ialah kecemerlangan pemain muda, Ansu Fati yang membantu bahagian serangan dan menjaringkan dua gol setakat ini. Kekurangan daripada segi pengalaman menjadi penghalang buat Ansu Fati untuk terus menyinar.

(Photo by Alexander Hassenstein – UEFA/UEFA via Getty Images)

Jika Barcelona terus dilanda kekalahan, maka tidak mustahil untuk mereka berada di pertengahan liga pada penghujung musim akibat keciciran mata.