Kolum

Ole dilanda musibah

Bencana sedang melanda kem Manchester United ketika ini. Skuad Ole Gunnar Solksjaer yang memulakan kempen Liga Perdana Inggeris dengan penuh bergaya apabila membenam Chelsea 4-0 di gelanggang sendiri kini dilihat semakin tenat.

United yang hanya mampu menjaringkan satu gol secara purata bagi satu perlawanan mengalami krisis kecederaan pemain terutama di bahagian serangan. Sepanjang tujuh perlawanan yang telah berlangsung termasuk perlawanan pembukaan saingan Liga Eropah pada pertengahan minggu lalu, United hanya mampu mencatat tiga kemenangan sahaja dan diiringi sembilan gol. 

Ini merupakan permulaan yang kurang baik buat United yang hanya mengumpul lapan mata selepas mengharungi enam perlawanan. Selepas berbelanja besar pada jendela perpindahan pemain, ternyata bukan ini yang penyokong dambakan.

Terdapat beberapa sebab yang merencatkan corak perlawanan United. Pertama, ketiadaan perancang tengah Paul Pogba yang mengalami kecederaan buku lali dan terpaksa diketepikan sedikit mengganggu kreativiti di kawasan tengah. Ketiadaan Pogba juga bererti tiada hantaran atau pun umpanan kepada pemain serangan. 

Seterusnya, kecederaan yang melanda Anthony Martial pada perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers. Martial yang bermula dengan baik di awal musim dengan menghasilkan dua jaringan dalam dua perlawanan juga direhatkan atas faktor kecederaan. Kehilangan sentuhan Martial di bahagian serangan ibarat melepaskan beban keatas bahu Rashford. 

(Photo by Matthew Peters/Manchester United via Getty Images)

Kini, Marcus Rashford pula mengalami kecederaan dan beliau hampir pasti tidak akan beraksi menentang seteru utama, Arsenal pada minggu depan. Rashford kelihatan penat setelah terlibat dengan hampir kesemua perlawanan musim ini.  Penyerang muda England itu memerlukan pasangan di bahagian serangan untuk memberikan hasil yang lebih berkualiti. 

Lihat saja bagaimana efisien tiga trio utama Liverpool dalam menghasilkan jaringan serta kemenangan. Mereka tahu akan peranan masing-masing dan itulah kunci kejayaan buat Liverpool yang menang keenam-enam perlawanan liga setakat ini. 

Pembelian pertahanan termahal dunia tidak akan memberi sebarang makna andai masih dibolosi dan menanggung kekalahan. Ole perlu segera mencari ramuan sebelum melayan kunjungan skuad Unai Emery pada selasa depan. Risiko terbesar yang mampu beliau laksanakan ialah dengan memberi kepercayaan kepada pemain muda untuk membuktikan keupayaan masing-masing sama seperti yang dilakukan pengendali Chelsea, Frank Lampard.