Kolum

Chelsea dihantui

Chelsea tewas 2-1 keatas Liverpool pada perlawanan keenam Liga Perdana Inggeris malam tadi. Sebelum ini, The Blues juga tewas kepada satu lagi gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dengan jaringan 4-0.

Terdapat perbezaan dan persamaan yang dipamerkan dalam kedua-dua perlawanan tersebut. Anak didik Frank Lampard sentiasa menunjukkan persembahan yang menarik dalam setiap perlawanan. Corak serangan Chelsea juga dilihat berpotensi untuk menghasilkan jaringan.

Persamaan yang wujud dalam kedua-dua perlawanan tersebut ialah Chelsea mendominasi perlawanan dan menghasilkan lebih banyak percubaan kearah gol berbanding Liverpool dan Manchester United. Namun begitu, kecekapan dan ketangkasan penjaga gawang pasukan lawan menjadi penghalang. Kepa Arrizabalaga dan Adrian kedua-duanya bertindak cemerlang menafikan beberapa peluang keemasan.  

Ketumpulan penyudah skuad The Blues bertindak menjadi titik perbezaan dan sebab utama mereka gagal menghasilkan gol. Ketika bertandang ke Old Trafford, peluang yang terhidang buat Chelsea disia-siakan dan sekadar singgah ke palang gol. Begitu juga dengan perlawanan menentang Liverpool malam tadi, dimana Tammy Abraham yang mengetuai jentera serangan gagal menterjemahkan peluang yang ada.

(Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

 Hakikat yang perlu diakui ialah kegagalan menghasilkan gol awal akan membunuh semangat satu pasukan dan ia juga mampu memberi kesan kepada corak permainan pasukan. Sebagai contoh, jika Chelsea berjaya menyamakan kedudukan pada babak pertama menentang Liverpool, kemungkinan besar mereka mampu untuk memperoleh sekurang-kurangnya satu mata.

Taktikal 4-3-3 yang diamalkan Frank Lampard sememangnya berkesan dalam membuat serangan. Tetapi ketiadaan pemain berpengalaman di bahagian pertahanan menyebabkan Chelsea seringkali dibolosi. Krisis di bahagian pertahanan pasukan yang berpangkalan di Stamford Bridge ini perlu diselesaikan segera jika ingin menjadi pencabar liga pada musim ini.

Walaubagaimanapun, keyakinan Lampard terhadap pemain muda perlu diberi pujian. Nama seperti Tammy Abraham, Mason Mount, dan Fikayo Tomori sudah mula terpahat di dalam hati para peminat mereka. Mereka bermain seolah-olah seperti pemain berpengalaman. Malah, mereka juga merupakan penyumbang gol buat pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris.