Kolum

Pukki jelmaan Vardy

Nama penyerang utama Norwich City, Teemu Pukki kini menjadi siulan di bibir peminat Liga Perdana Inggeris. Bukan sahaja unik pada nama tetapi persembahan menarik daripada pemain antarabangsa Finland itu juga mencuri perhatian.

 

Kemunculan Pukki yang mula menyertai Norwich City pada musim lepas dilihat sangat berbaloi apabila membantu skuad The Canaries untuk layak ke Liga Perdana Inggeris selepas mengutip 94 mata pada Liga Championship. Teemu Pukki juga muncul sebagai penjaring terbanyak dengan menyumbat 29 gol pada musim lepas.

 

Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya Pukki juga beraksi dengan cemerlang ketika mewakili pasukan kebangsaan Finland. Beliau menyumbang lima gol daripada enam penampilan pada kempen kelayakan Euro 2020. Pada musim ini, enam gol telah dihasilkan daripada lima perlawanan bersama Norwich City. 

Dikenali sebagai pasukan ‘underdog’, Norwich City lebih selesa dengan corak permainan terbuka yang menghiburkan. Walaupun dibarisi pemain-pemain yang tidak dikenali, tetapi keserasian diantara pemain menjadi kunci kejayaan kepada pasukan.

Daniel Farke yang mempercayai akan kebolehan Pukki di bahagian serangan dilihat begitu optimis untuk mencipta kejutan. Pukki telah menjaringkan gol  menetang pasukan gergasi termasuklah juara bertahan Manchester City, Liverpool, dan Chelsea. Pada sabtu lepas, skuad bimbingan Daniel Farke membenam Manchester City 3-2 di halaman sendiri. 

Kejutan kepada anak buah Pep Guardiola itu sekaligus menyaksikan mereka tercicir mata sambil Liverpool menjarakkan kedudukan di tangga teratas dengan 15 mata.

Jika diteliti secara mendalam, persembahan Teemu Pukki mempunyai persamaan dengan Jamie Vardy yang beraksi bersama Leicester City pada musim 2015/2016 dimana Leicester City merangkul kejuaraan liga. Persamaan disini merujuk kepada aksi individu pemain. Pada musim tersebut, Jamie Vardy mendapat anugerah pemain terbaik bulanan sebanyak tiga kali. Baru-baru ini, Teemu Pukki telah dipilih sebagai pemain terbaik bulan ogos selepas mempamerkan persembahan luar biasa bersama Norwich City.

Persoalan yang bermain di minda para peminat Liga Perdana Inggeris pastinya terletak pada konsistensi persembahan  Pukki. Adakah beliau mampu untuk menjulang Norwich City atau aksi luar biasa ini hanya sekadar bermusim?