Kolum

Malaysia vs UAE – Rekod terdahulu, berita pasukan dan ramalan jaringan

Malaysia bakal menerima kunjungan Emiriah Arab Bersatu pada perlawanan kedua Kumpulan G dalam Kelayakan Piala Dunia pada hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dilaporkan bahawa lebih 20,000 tiket sudah terjual selepas aksi yang membanggakan di Jakarta dengan skuad Tan Cheng Hoe membenam jiran tetangga 3-2 untuk memperoleh tiga mata berharga. Dua jaringan daripada pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh dan satu jaringan daripada pemain kelahiran Kedah, Syafiq Ahmad.

Pertemuan dahulu

Kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak tujuh kali dalam kancah bola sepak dunia dengan UAE menguasai pertemuan itu.

Pasukan kendalian Bert Van Marwijk telah mendominasi enam perlawanan berturut-turut dan kebanyakkan daripada pertemuan sebelum ini mereka memenangi lebih daripada satu gol.

Sejarah pada Kelayakan Piala Dunia 2015 telah mencorakkan satu situasi baharu apabila skuad negara telah dibenam dengan 10-0 pada aksi di laman lawan.

Semestinya skuad negara mahu menghentikan dominasi UAE dan berharap untuk mendapatkan tiga mata penuh sekaligus memperbaiki ranking FIFA jika skuad Tan Cheng Hoe berjaya mencatat kemenangan kedua pada aksi hari ini.

Kemenangan terakhir skuad negara ke atas UAE adalah pada 1980 ketika mereka mencatat jaringan 2-0.

Dari pihak Malaysia

Malaysia bermain dalam bentuk yang padat, kebanyakkan daripada permainan mereka adalah untuk memenangi bola dan melancarkan serangan pantas dengan Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid bertindak selaku pembunuh manakala Norshahrul Idlan Talaha akan digunakan di dalam posisi False 9 bagi memberi ruang kepada Syafiq Ahmad untuk masuk dalam.

Skuad negara telah menjaringkan 19 gol dalam enam perlawanan terakhir mereka termasuk tiga gol ketika mereka berjaya membenam Indonesia.

Tan Cheng Hoe bakal menurunkan skuad terbaik untuk perlawanan malam ini apabila tiada pemain yang menghadapi masalah kecederaan atau digantung perlawanan.

Dari pihak UAE

UAE bermain dalam bentuk yang baik dan mereka adalah antara pasukan yang mudah untuk mencetak gol apabila kelebihan mereka memiliki pemain seperti Omar Abdulrahman.

Dalam empat perlawanan persahabatan, skuad UAE berjaya mencatat tiga kemenangan dan satu keputusan seri. Kemenangan terbesar mereka adalah ketika turun menentang Sri Lanka pada 1 September lalu jaringan 5-1 di Stadium Nasional Bahrain.

AFC

Ini merupakan perlawanan pertama mereka dalam Kelayakan Piala Dunia 2022 dan semestinya mereka mahu mencatat tiga mata penuh.

Jangkaan Tribe

Ini bakal menjadi pertemuan kelapan dalam sejarah bola sepak kedua-dua negara dengan kelebihan semestinya berpihak kepada UAE dari segi ranking dan rekod pertemuan sebelum ini.

Manakala bagi skuad negara, motivasi yang tinggi serta semangat juang untuk memperoleh kemenangan kedua semestinya menjadi misi utama buat Tan Cheng Hoe.

Biarpun di atas kertas, UAE mempunyai kelebihan yang besar manakala skuad negara dilihat sukar untuk mendominasi, tetapi kelebihan bermain di halaman sendiri dan beberapa faktor lain – peminat dan kemenangan ke atas Indonesia – bakal mencorakkan cerita lain untuk perlawanan malam ini.

Kami di Football-Tribe Malaysia menjangkakan keputusan seri 2-2 pada malam ini.