Futsal

Kuala Lumpur Juara futsal wanita

Skuad futsal wanita Kuala Lumpur merangkul kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia 2019 kategori wanita selepas membelasah Selangor 7-0 pada perlawanan terakhir di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam. 

Kuala Lumpur mengutip 27 mata daripada 12 perlawanan mengatasi Selangor di tempat kedua dengan 25 mata dan Perak di tangga ketiga dengan 15 mata. Skuad kendalian Faizul Abdul Gaffar telah mencatat lapan kemenangan diiringi 49 jaringan gol. 

Pemain sensasi Kuala Lumpur, Intan Sarah Anisah Zulgafli dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan manakala pemain berpengalaman negara yang mewakili Selangor, Fatin Shahida Azmi muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 11 jaringan gol.

 

Johan liga membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 50,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing mendapat RM 30,000 dan RM 10,000. Hadiah bagi pemain terbaik pula ialah wang tunai bernilai RM 3,500 dan RM 2,000 bagi penjaring terbanyak.

Edisi sulung Liga Premier Futsal Malaysia 2019 menampilkan empat pasukan bagi kategori wanita iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Perak, dan Kedah yang melengkapkan empat siri sirkit. Penganjuran kejohanan sebegini mampu memberi peluang kepada golongan wanita mempamerkan bakat seterusnya menyumbang khidmat kepada pasukan futsal wanita negara.