Kolum

Bola sepak yang cuba digoda oleh politik

Di dalam dunia bola sepak – satu permainan yang penuh emosi dan semangat – politik biasanya tidak akan terlepas daripada menjadi subjek yang selalu dibincangkan.

Dalam nada yang sama, ia tidak mengejutkan bahawa Persatuan Bolasepak Dunia (FIFA) sendiri menyatakan bahawa bola sepak sentiasa perlu bebas dari campur tangan kerajaan. Tetapi apa yang pasti, usaha besar atau kecil dari badan induk bola sepak dunia sering kali dibuktikan sia-sia.

Secara lahiriahnya, politik dan bola sepak sering kali menggoda satu sama lain sehingga hubungan kedua-duanya dilihat begitu dekat dan akrab.

Ia jelas dapat dilihat pada 2018 di mana ketegangan antarabangsa di antara Rusia-England telah memberi kesan kepada Piala Dunia 2018 yang berlangsung sehingga memaksa pengendali England, Gareth Southgate meminta supaya masalah ini diselesaikan dengan kadar segera.

Dalam keadaan sedemikian, ia mencerminkan mengapa politik dan bola sepak sukar dikawal apabila mereka bercampur.

Kegusaran ini juga pernah dilontarkan sendiri oleh Menteri Besar Perak merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di mana beliau tidak mahu bola sepak negeri dicampur aduk dengan politik kerana ia mampu untuk menjatuhkan momentum pasukan.

Situasi di Malaysia.

Sejak dahulu lagi pasukan Liga Malaysia dinaungi oleh Persatuan Bola Sepak Negeri (FA). Ianya sudah menjadi kebiasaan dan juga budaya bahawa kerusi paling tinggi di dalam persatuan tersebut dipegang oleh Menteri Besar (MB) atau Ketua Menteri (KM).

Selain daripada itu, dana-dana yang dimiliki FA kebanyakkan hadir daripada belanjawan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri. Situasi ini jelas mencerminkan sikap kebertanggungan FA kepada kerajaan negeri.

Dalam laporan mStar pada 20 Apr 2016, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM20 juta bagi pasukan Terengganu, manakala T-Team menerima peruntukan lebih kurang RM10 juta.

Disebabkan perkara-perkara ini, Malaysia Football League (MFL) telah diwujudkan bagi mengurus pasukan-pasukan di Liga Malaysia dan antara usaha-usaha mereka adalah untuk menjadikan setiap pasukan yang bertanding mampu untuk berdiri sendiri tanpa melibatkan ahli politik.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan jelas menyatakan bahawa setiap pasukan perlu berdiri di kaki sendiri dan bukannya perlu mengharapkan dana kerajaan negeri.

Beliau sendiri telah membuktikan kemampuannya bergerak dengan sendiri apabila membawa Johor Darul Ta’zim ke peringkat tertinggi bola sepak Asia.

Usaha Kecil

Pada 1 September yang lalu, pemimpin semua agama telah mengambil bahagian dalam satu perlawanan bola sepak yang diadakan di salah sebuah sekolah tertua di Malaysia, Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Dalam kehangatan beberapa isu yang hampir menggegarkan benang perkauman di Malaysia, wujud satu bahagian kelompok manusia yang sudi untuk menyebarkan kedamaian kaum dan agama.

Perlawanan persahabatan ini telah dijalankan oleh Persatuan Kristian Nexgen Malaysia dan Kristian Untuk Keamanan dan Harmoni Malaysia telah menjemput semua pemimpin semua agama menyertai perlawanan amal ini.

Selain daripada itu, beberapa lagenda bola sepak Malaysia, Santokh Singh, Soh Chin Aun, K Gunalan dan N Thanabalan turut hadir memeriahkan acara.

Bercakap kepada FMT, Jason Leong berkata bahawa tidak ada mana-mana ahli politik dijemput untuk menghadiri program ini.

“Legenda bola sepak datang dengan rela apabila kami menjemput mereka. Inilah keindahan, tidak ada politik. Kadang-kadang, negara kita mempunyai terlalu banyak politik.

“Apabila kita berada di lapangan, tiada siapa yang peduli tentang pangkat atau status anda. Semua orang bermain untuk menang, “katanya.

Dalam masa yang sama, bekas lagenda bola sepak Malaysia, Santokh Singh turut menyatakan pendirian beliau bahawa pentingnya untuk menjaga keharmonian kesemua kaum.

Dia turut berharap agar perpaduan di Malaysia dapat dikekalkan seperti mana yang ditunjukkan oleh Mokhthar Dahari, Soh dan R Arumugam

“Kita tidak boleh menyamakan politik dengan bola sepak. Ia tidak boleh bercampur-campur. Saya hanya tahu mengenai sukan, bola sepak dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.” katanya.