Kolum

Lukaku ‘lukakan’ peminat The Red Devils

Pada awal bulan lepas, penyerang antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku telah berhijrah ke pasukan Serie A, Inter Milan selepas dikhabarkan khidmat beliau tidak lagi diperlukan pengendali utama United, Ole Gunnar Solksjaer. Keputusan yang diambil bekas penyerang utama Manchester United itu mengejutkan para peminat The Red Devils yang rata-rata masih menagih sentuhan beliau diatas padang. Untuk rekod, Lukaku telah menjaringkan 28 gol dalam 66 penampilan liga bersama United.

 

Berita perpindahan Lukaku mula bertiup kencang setelah beliau dikatakan ‘cedera’ dan tidak akan beraksi dalam sebarang perlawanan pra-musim bersama Manchester United dimana ianya menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau bakal meninggalkan Old Trafford. Kekerapan Ole Gunnar Solksjaer dalam menggunakan khidmat pemain seperti Marcus Rashford, Anthony Martial, dan Jesse Lingard di bahagian serangan seolah-olah memberi petanda bahawa taktikal yang diguna pakai  tidak memerlukan pemain seperti Lukaku. Kehadiran pemain muda Wales, Daniel James yang menyertai United dari Swansea City menggambarkan bahawa Ole lebih cenderung untuk menggunakan pemain yang bertubuh kecil dan mempunyai larian deras selari dengan taktikal yang digunakan.

 

Secara realitinya, Romelu Lukaku telah membuktikan bahawa beliau mampu beraksi dengan mana-mana pengendali yang menerapkan pelbagai jenis taktikal. Masalah komunikasi diantara beliau dan Ole berkemungkinan besar menjadi punca utama mereka sudah tidak lagi sehaluan.

 

Setelah sebulan menyertai Inter Milan, Lukaku berjaya menghasilkan dua jaringan daripada dua penampilan. Terbaru, beliau berjaya menghadiahkan gol kemenangan buat Inter Milan yang menewaskan Cagliari 2-1 di halaman lawan. Pengendali Inter Milan, Antonio Conte dilihat begitu berpuas hati dengan prestasi semasa Lukaku yang membantu Inter mencatatkan dua kemenangan daripada dua perlawanan dan memuji persembahan cemerlang beliau sejak hari pertama menyertai Inter Milan.

 

Disaat pasukan lama beliau, Manchester United, yang dihantui dengan isu kegagalan menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan menentang Crystal Palace dan Wolverhampton Wanderers, beliau pula dilihat semakin selesa di Serie A. Ditambah pula dengan kecederaan yang dihadapi Anthony Martial dan pemergian Alexis Sanchez ke Inter Milan (secara pinjaman), kem United ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

 

Ternyata para peminat tegar pasukan United mula merindui kelibat Lukaku setelah barisan serangan yang diketuai Marcus Rashford hanya mampu memberikan satu kemenangan daripada empat perlawanan yang telah berlangsung. Adakah Lukaku mampu untuk meneruskan kecemerlangan di San Siro? atau ianya akan terbantut di pertengahan jalan? dan adakah Manchester United mampu membuktikan kecemerlangan tanpa kelibat Lukaku? Sama-sama kita nantikan.