Piala FA Malaysia Berita

Shopee Final Piala FA : Penyokong bikin riuh!

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan pertembungan Perak dan Kedah dalam aksi final Shopee Piala FA 2019 diibaratkan sama seperti perhimpunan satu keluarga besar.

Masakan tidak, penyokong kedua-dua negeri dari Utara ini cukup mesra bergurau senda sesama sendiri dan meraikan aksi final Shopee Piala FA begitu harmoni di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Baik dalam dan di luar gelanggang, penyokong-penyokong Perak dan Kedah mempamerkan kemesraan dan menghormati antara satu sama lain menjadikan perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 edisi ke-30. tampak berbeza.

MFL Media

Ketika gelombang Hijau-Kuning dan Kuning-Hitam membanjiri perkarangan persekitaran SNBJ seawal jam 3 petang, penyokong-penyokong ini telah membuktikan bahawa mereka mampu memberikan contoh baik dengan menunjukkan semangat kesukanan tinggi.

Suasana di dalam stadium tidak kurang hebatnya apabila penyokong kedua-dua pasukan ini telah mula memenuhi SNBJ jam 4 petang dengan memberikan sorakan gemuruh.

MFL Media

Kain rentang yang menyuntik moral dan nyanyian meniup semangat pasukan menambahkan lagi seri perlawanan akhir kali ini sekali gus menceriakan lagi aksi final Shopee Piala FA 2019.

Apa yang pasti, SBNJ kali ini bukan sahaja menjadi gelanggang pertembungan dua jaguh dari Utara sebaliknya turut menjadi medan mengeratkan lagi hubungan antara penyokong Perak dan Kedah.