Juara Eropah, Portugal berjaya menewaskan Belanda pada aksi final Liga Negara-Negara dengan gol separuh masa kedua daripada Goncalo Guedes meletakkan Portugal sebagai juara sulung kejohanan ini.
Kelebihan bermain di halaman sendiri nyata digunakan sebaik mungkin oleh pemain Portugal apabila berjaya menguasai perlawanan dengan merekodkan lapan cubaan ke arah gawang gol Belanda pada babak pertama.
Belanda gagal menunjukkan permainan mereka yang sebenar pada separuh masa pertama apabila gagal menyumbang sebarang cubaan ke arah gawang gol Portugal dan persembahan Jasper Cillessen harus dipuji kerana berjaya menafikan cubaan Cristiano Ronaldo, Jose Fonte dan Bruno Fernandes.
Tetapi menjelang separuh masa kedua, beliau gagal menafikan cubaan Guedes apabila pemain Valencia ini berjaya meletakkan Portugal dikedudukan yang selesa.
Belanda cuba bangkit menerusi Memphis Depay, tetapi penjaga gawang Portugal, Rui Patricio pantas menampan cubaan pemain sayap Lyon tersebut.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat permainan dengan Portugal meraikan kejuaraan tunggal Liga Negara-Negara.