Malaysia Berita

Nafuzi akui wujud tekanan sejak kendali TFC

Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui wujud tekanan sejak beliau mengambil alih pasukan TFC selepas Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan.

Biarpun tekanan itu dirasai kuat, tetapi beliau masih mampu mengambil sikap tenang apabila berjaya memimpin TFC merakam satu kemenangan dan sekali seri.

Jurulatih muda ini dilihat mampu mengalas tugas berat yang ditinggalkan Irfan apabila mencatat kemenangan ketika bertemu Selangor dan seri dengan Felda United ketika di tempat lawan.

Berkata kepada BH Sukan, Nafuzi percaya setiap jurulatih akan mengalami rasa yang sama kerana semua orang mahukan kemenangan.

“Setiap jurulatih sememangnya ada tekanan, jika anda jurulatih kampung pun juga ada tekanan, jika pasukan anda beraksi mesti ada tekanan kerana mahukan pasukan anda menang.

“Namun begitu ini adalah asam garam dalam bola sepak, lagipun dalam hidup perlu ambil risiko, jika saya tak mahu ambil risiko lebih baik saya kerja lain, kerani ke sebagai contoh,” katanya.

Beliau mengambil alih tugas daripada Irfan pada 15 Mei lalu selepas dilantik sebagai ketua pengendali sementara pasukan itu.

“Selepas pertemuan dengan FELDA, corak permainan pasukan ada peningkatan biarpun berdepan masalah kecederaan pemain termasuk Igor Zonjic cedera di bahagian mata manakala Thierry Chantha Bin cedera lutut, tapi semangat juang pemain tetap tinggi, ini yang menggembirakan kami,” katanya.